Aku menulis kerana aku
juga mahu ditegur. Mungkin ditegur dengan nasihat hasil tulisanku sendiri.
Kerana hakikatnya aku juga seorang pelupa dan perlu sentiasa diingatkan. Kerana
mungkin boleh jadi terkadang aku hanya pandai berkata-kata namun pabila musibah
menjengah tiba, akulah nombor satu yang buntu langkah, kelu bicara! Sungguh
amatku benci jika diri langsung tiada teguran kerana itu mungkin suatu masa
nanti akan membawa aku kepada kecelakaan. Rencana syaitan untuk menyesatkan itu
sangat bermacam-macam. Itulah yang aku belajar dari sebuah kehidupan.
Menulis berdasarkan
pengalaman itu lebih bererti kerana telah kau lalui dan fahaminya sendiri. Apa
yang pasti kini jika aku menulis sekadar untuk berbasa-basi tanpa sendiri aku
fahami, maka ‘risiko’nya agak lebih tinggi. Untuk lebih fahami, diri ini juga
akan terkadang akan turut sama diuji. Untuk dinilai sama ada apa yang ditulis
dan nasihat yang diberi dan dikongsi sekadar dituju untuk menenangkan hati orang
lain ataupun sebenarnya juga untuk empunya diri sendiri!
Menulis bersandarkan
kewarasan akal fikiran ataupun emosi dan perasaan, itu adalah pilihan.
Benarnya, andai menulis bersandarkan akal fikiran, bukan sahaja kekhilafan
insan lain, malah kesilapan dirimu sendiri perlu turut dipertimbangkan. Namun
andainya dipengaruhi emosi dan perasaan seperti amarah dan bertujuan untuk
menyakitkan hati dan mendapat perhatian, maka aku lebih memilih untuk lupakan
saja niat itu.
Seiring dengan rencana
penulisan ini, turut kukirimkan untaian doa yang kupinjam dari al-Nasa’i untuk
dipersembahkan kepada-Nya yang sentiasa memerhati dan mengawal seluruh urusan
hidup matiku ini.
“Wahai yang Maha Hidup
lagi Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan.
Perelokkanlah segala urusanku dan jangan sesekali Engkau wakilkan pada diriku
sendiri walau apa jua keadaan sekalipun.”
Rasulullah menceritakan,
“Sesungguhnya aku tahu
ahli neraka yang terakhir keluar lalu menjadi ahli syurga terakhir masuk. Dia
keluar daripada neraka dengan merangkak. Allah berfirman kepadanya, ‘Pergilah masuk
ke syurga!’ Orang tersebut bergegas menuju ke syurga. Tergambar dalam
fikirannya bahawa syurga sudah penuh. ‘Wahai Tuhanku, aku rasa syurga telah
penuh!’ Allah pun membalas, ‘Pergilah masuk ke syurga! Sesungguhnya engkau
layak mendapat nikmat sebenar dunia dan 10 kali ganda!’ Orang tersebut berkata,
‘Wahai Rabbku, apakah Engkau mengejek aku sedangkan Engkau Raja?’ Rasulullah
tertawa hingga terlihat gigi gerahamnya. Kemudian Baginda bersabda, ‘Itulah
tempat tinggal ahli syurga yang paling rendah.’” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Aku sentap! Oh Tuhan,
adakah aku adalah orang terakhir itu? Atau layakkah aku menjadi orang yang
layak menghuni syurga-Mu meski tempatnya bukan yang paling rendah?
Seringku terfikir begitu.
Belakangan ini.
“Jika kamu meminta kepada
Allah, mintalah Firdaus. Firdaus itu terletak di tengah-tengah syurga dan
paling tinggi. Atas darinya ialah Arasy al-Rahman. Dari Firdauslah memancar
sungai-sungai syurga.” (Riwayat al-Bukhari)
Bagaimana mungkin aku
harus meminta Firdaus-Mu andai di tempat paling rendah pun aku tiada
berkelayakan?
Benar, andai diberi
pilihan sewaktu dilahirkan, tiada siapa yang mahukan dirinya jadi yang terburuk
malah terbaik segala. Semuanya. Mahu jadi pelajar terbaik di sekolahnya,
pekerja paling tinggi pangkat di tempat kerjanya, paling berada di kawasan
kejiranannya, pemimpin paling berpengaruh di negaranya.
Semuanya itu kita
mahukan, mereka mahukan, kau mahukan, malah aku juga mahukannya! Namun apakah
apa yang kita mahu, apa yang kita idam semua itu kita peroleh? Lantas pabila
apa yang kita terlalu taksub inginkan ia namun tidak mampu kita miliki, hati
mula berandaian serba serbi seolah kitalah juara peramal nasib kita sendiri di
masa depan.
“Kalau begini, mesti
akan jagi begitu.”
“Kalaulah aku study betul betul dulu mesti aku dapat
jugak anugerah Dekan tu.”
“Kalaulah dia tak
hadiri majlis tu, mesti dia takkan terlibat dengan kemalangan.”
“Kalaulah
aku tak kahwin dengan kau dulu, mesti hidup aku tak sengsara macam ni.”
Sebenarnya, betulkah
kalau kita rasa sebegitu, kita akan dapat seperti yang kita mahukan juga? Bila
akal pemikiran mula dipengaruhi dengan kata hati yang bermain dengan emosi,
maka itulah jadinya. Apatah lagi dengan emosi marah, sedih, kecewa, dukacita
dan bermacam emosi ketidakselesaan lain lagi. Apakah kita tidak tahu bahawa
Allah sesungguhnya tidak menyukai kita beranggapan sedemikian seolah-olah kita
tidak redha dan menerima segala perancangan-Nya terhadap kita.
“Mukmin yang kuat lebih
disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada
kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan
kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa
sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata, ‘Sekiranya (kalau) aku lakukan
begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah, ‘Itu merupakan
takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’
akan membukakan pintu amalan syaitan.’’’ (Riwayat Muslim)
Atau kita sudah tahu
namun kita sengaja mahu mengundang murka-Nya?
Sebetulnya atas apa
sahaja yang kita buat, sama ada betul mengikut landasan ataupun tersasar dalam
memilih jalan, maka ingatlah bahawa ada sesuatu yang Allah mahu ajarkan kita di
dunia ini. Diberikan ujian bukan untuk saja-saja. Malah diciptakan kita juga
bukanlah saja-saja. Mesti ada sesuatu. Seperti juga apa yang kita lakukan pasti
ada sebabnya termasuklah berbuat baik terhadap orang yang pernah mengkhianati
dan menzalimi kita. Ia itulah lillahi Taala!
Kejayaan dan kebahagiaan,
dugaan dan rintangan semua itu adalah ujian. Apabila kita kaya, apakah kita
akan sentiasa ingat untuk memberi dan apabila miskin, adakah kita akan sentiasa
ingat bahawa kita tergolong dalam kalangan orang yang bersabar.
Walau apa pun profesion
kita, hakikatnya kita semua adalah seorang pelajar. Pelajar yang akan
berterus-terusan belajar di sepanjang perjalanan kehidupan menuju destinasi
abadi. Sama ada kita belajar dari orang lain, kesilapan orang lain, mahupun
kesilapan kita sendiri. Usah ditertawakan andai musibah menimpa saudaramu
sendiri kerana mungkin boleh jadi kerana dirimu tidak tertanggung menerimanya,
maka Allah caturkan untuk mereka, dan bukan hak engkau untuk menilai atau
mengadili kerana apa yang lebih penting adalah engkau perlu belajar dari
musibah mereka itu.
Adakala Allah aturkan
ujian kapada kita untuk orang lain dapat belajar dari kita dan adakala ujian
yang tidak mampu kita tanggung, Allah suratkan untuk orang lain maka tugas kita
di situ adalah untuk belajar daripadanya! Tidak nampakkah kita di situ? Mengapa
perlu dikutuk, mengapa perlu dicaci, andai kita tahu semua orang diuji dan
adakala kita juga lakukan kesilapan seperti orang lain.
Apabila kita sentiasa
ingat bahawa setiap manusia di dunia ini sering diuji, mesti tidak akan ada
antara kita kan bersifat dengki dan iri hati sesama sendiri. Mengapa perlu ada cemburu
kalau hati kita sudah merasa serba cukup dan redha segalanya? Mengapa perlu ada
dengki andai kita sudah tahu kita semua sama sahaja sering diuji untuk berada
di atas dan di bawah? Mungkin kita tidak sama layanan pujian dari manusia,
mereka pekerja lebih baik prestasi, mereka pelajar paling cerdik di dalam
kelas, mereka seorang pemimpin yang paling disegani di kalangan orang atasan,
namun hakikatnya siapa pun kita, kita
sama sahaja di sisi Tuhan Yang Maha Satu.