Tuesday, October 21, 2014

Kerana aku sering terlupa

 
kadang kadang apabila melihat kelemahan seseorang, selalu sahaja aku mentertawakan kekurangan mereka dengan merasakan seolah olah akulah yang lebih baik daripada mereka.

namun aku lupa bahawa Engkau ada menyebut:

"Wahai orang yang beriman, janganlah suatu golongan mengejek golongan yang lain, kemungkinan mereka (orang yang diejek) lebih baik daripada mereka (orang yang mengejek)."
[al-Hujurat 49:11]

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
[at-Tin 95:4]

adakalanya aku selalu menegur keterlanjuran teman temanku dengan bicara kasar lagaknya seperti orang serba tahu segala. seperti akulah ketua dengan lagaknya berbicara.

namun aku lupa bahawa Engkau ada menyebut:

"Berbicaralah kepadanya dengan kata-kata yang  lemah lembut. Mudah mudahan dia akan ingat dan takut (kepada Allah dan insaf)."
[Taha 20: 44]

kadang kadang apabila disakiti dan dikhianati oleh  teman temanku sendiri, sering sahaja aku mengungkit pemberianku terhadap mereka suatu ketika dahulu.

tapi aku lupa, Engkau ada menyebut:

"Jangan kamu rosakkan sedekah kamu dengan perbuatan mengungkit dan menyakiti."
[al-Baqarah 2: 197]

ketika berlakunya pertelingkahan sering sahaja aku yang ingin menang walau aku tahu kesalahan itu berpunca  dari diriku sendiri. sering saja aku mencari alasan dengan cuba menyalahkan orang lain.

tapi. tapi aku lupa bahawa Engkau juga ada menyebut tentangnya:

"Dan janganlah mencari-cari kesalahan orang lain."
[ al-Hujurat 49: 12]

di kala aku tidak dapat memiliki apa yang aku inginkan, senantiasa aku menyalahkan takdir-Mu dan menganggap bahawa apa yang berlaku serba tidak adil.

tapi Engkau ada menyebut:

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, padahal baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal buruk kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya."
[al-Baqarah 2: 216]

kesekian musibah melanda diri, kurasakan keyakinanku semakin hilang. daku sering tertanya mengapa aku sahaja yang diuji sebegini rupa berbanding insan lain.

namun aku tidak tahu bahawa Engkau ada menyebut:

"Janganlah kamu berasa lemah dan berdukacita, sebaliknya kamulah orang yang tinggi (darjatnya) jika kamu beriman."
[Ali-Imran 3: 139]

malah Engkau turut menyebut:

"Tidak ada suatu bencana pun yang menimpa di Bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu lebih mudah bagi Allah."
[al-Hadid 57: 22]

terkadang aku merasakan bahawa aku sudah melakukan yang terbaik sehabis mampu dan berusaha sepenuh tenaga demi mencapai yang terbaik, namun masih lagi aku ditindas dan dizalimi.

tetapi Engkau sentiasa mengingatkan daku bahawa:

"Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada perbuatan yang zalim, mereka cuma ditakhirkan (diberi penangguhan), sampai kepada hari yang padanya terbeliak kaku pandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip dan hati mereka kosong." 
[Ibrahim 14: 42-43]

di saat hilang arah tujuan, kurasakan diri ini semakin jauh dari-Mu. diri terasa sungguh hina dan malu untuk berdoa kepada-Mu. adakah Engkau masih sudi mengampunkan hamba sehina daku ini?

namun berterusan Engkau mengingatkan, memujukku:

"Jika hamba-Ku bertanyakan kamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku sentiasa mendengar permohonan doa tatkala mereka berdoa kepada-Ku. Oleh sebab itu, wajarlah mereka seruan-Ku dan beriman dengan-Ku, semoga mereka beroleh petunjuk."
 [al-Baqarah 2: 186]

di kala diri dilanda kekusutan maha sesak sehingga kurasakan tidak terdaya untuk diteruskan kehidupan ini. aku buntu. putus asa.

namun, Engkau ada menyebut:

"Adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu sebagai sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
[al-Mu'minun 23: 115]
 
Ilahi Rabbi,
kupanjatkan doa ini tulus untuk-Mu.
sequdus doa yang diajari oleh kekasih-Mu yang agung, Muhammad tercinta.
dalam menanti qudus sinar-Mu, Engkau redhailah daku.

Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.
Ya Allah, aku berlindung kepada Engkau daripada kesusahan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau daripada kelemahan dan kemalasan. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau daripada himpitan hutang dan paksaan orang.
Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan mata manusia. 
Ya Arham al-Rahimin, Engkaulah Tuhan orang yang ditindas dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah akan Engkau serahkan diriku ini? Kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang akan menguasai aku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli.
Wahai Yang Hidup dan Yang Berdiri Sendiri!
Dengan rahmat-Mu aku memohon bantuan. Perbaikilah urusanku dan jangan Engkau serahkan urusanku kepada diriku sendiri walau sekelip mata pun.

Amin Ya Rabbal 'Alamin. 

bantu ku dengan sentiasa memberi peringatan padaku kerana aku juga seringkali alpa. lupa.
lupa bahawa Allah ada menyebut:

"Dan berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu akan memberi manfaat kepada orang yang beriman."
[az-Zariyat 51: 55]

terima kasih kepada yang sudi menegur kerna kutahu diri ini tak selamanya luhur. 
adakalanya langkah perjalanan terasa kabur. malah pernah jatuh tersungkur.
namun dikurniakan sahabat sepertimu. 
sesungguhnya kehadrat Ilahi Rabbi ku panjatkan syukur.
 

No comments:

Post a Comment